Categories
Berita Budaya Lifestyle seni

PARAMAPATHAM BERTANDING ANUGERAH GOLDEN GLOBE

Filem Tamil hasil karya tempatan Paramapatham (The Snake and Ladder Gameboard) telah dihantar untuk bertanding di Anugerah Golden Globe pada 21 Februari depan.

Filem terbitan Sai Nanthini Movie World Sdn Bhd itu dihantar untuk dinilai dalam kategori Filem Luar Negara Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik dan Editor Terbaik.

“Saya harus berterima kasih kepada sokongan dan inisiatif dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). Ini kerana hanya satu filem sahaja boleh mewakili negara masing-masing di anugerah itu.

“KKMM banyak membantu kami dalam hal ini. Pada masa yang sama mereka juga meneliti segala aspek dalam filem itu sebelum menyokongnya untuk dihantar ke Golden Globe,” kata Viknes.

Berhubung penyertaan Paramapatham dalam sejumlah kategori utama anugerah itu, Viknes menyuarakan harapan agar filem tersebut akan disenarai pendek untuk ke pusingan akhir.

Filem thriller fantasi itu turut diarahkan Thanes Perrabu dan mengisahkan seorang ahli arkeologi, Aroon bersama kawannya yang mengembara dan terjumpa mainan berpapan kuno dengan ukiran “Paramapatham”.

Viknes turut memegang watak antoganis dalam filem tersebut.

Dalam pada itu, dia turut memaklumkan filem itu telah dicatatkan dalam Malaysian Book of Records sebagai Filem Tamil tempatan yang paling banyak menerima anugerah antarabangsa.

“Setakat ini filem ini telah menang 16 anugerah di festival filem antarabangsa termasuk di Amerika Syarikat, Norway dan India.

“Asia World Records, sebuah agensi dari India turut memberi pengiktirafan sama,” katanya lagi.

Paramapatham bakal menemui khalayak tempatan pada 26 November ini. Ia juga akan ditayangkan di Singapura bermula 3 Disember dan di India pada bermula 14 Disember.

Sumber: Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *