Categories
Berita Politik

PAS CABAR ANWAR DEDAH AHLI PARLIMEN YANG MENYOKONGNYA

Pas mencabar Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menamakan Ahli Parlimen yang dikatakan sudah menyokongnya untuk membentuk Kerajaan Persekutuan seperti dinyatakan dalam sidang medianya semalam.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Ahli Parlimen Pas sendiri tetap berpendirian untuk tidak menyokong Anwar.

“Saya nak sahkan tidak ada seorang pun Ahli Parlimen Pas beri sokongan kepada kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dan kami daripada Pas, kami sokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan tidak timbul soal untuk menyeberangi atau menyatakan sokongan kepada yang lain.

“Saya nak cabar dia untuk senaraikan nama yang memberi sokongan kepada dia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ozon Sedunia & Prapelancaran Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2020, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, Setiausaha Agong setiap parti dalam PN juga sudah mengeluarkan kenyataan menyokong kerajaan sedia ada.

Ditanya jika pengumuman Anwar itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Kabinet pagi tadi, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, berkata ia ada dibincangkan ‘sepintas lalu’.

Beliau berkata, perkara itu bukanlah satu isu besar dan sudah memadailah dengan kenyataan setiap Setiausaha Agong parti komponen mengenainya.

Mengulas mengenai kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak dapat menghalang mana-mana Ahli Parlimen yang mahu menyokong Anwar, Tuan Ibrahim berkata, ia adalah hak Ahli Parlimen dalam sistem demokrasi.

Bagaimanapun, beliau berkata, parti bertanggungjawab untuk memastikan Ahli Parlimennya menyokong kerajaan PN.

“Bagi pihak Pas, kita komited dengan kerajaan PN,” katanya.

Tengah hari tadi, Anwar, dalam satu sidang media khas, mendakwa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Anwar mendakwa, sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *