PAS Pusat tidak menyertai usaha pembentukan Kerajaan Negeri Perak yang baharu, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang telah berlangsung di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.
“Ia di mana tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS menyokongnya selaras dengan pendirian yang dibuat oleh Lajnah Politik PAS Pusat.
“Maka selaras dengan keputusan tersebut, PAS Pusat telah membuat ketetapan untuk tidak menyertai usaha pembentukan Kerajaan Negeri Perak yang baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Namun demikian, beliau menyatakan, PAS akan terus berperanan sebagaimana biasa dalam masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional.
Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang kalah dalam usul undi percaya di Sidang DUN Perak pagi tadi.
Hanya 10 daripada 59 Adun menyokong usul itu berbanding 48 yang menolak. Satu undi rosak atau berkecuali.
Umno memiliki kerusi terbanyak dalam DUN Perak dengan 25 kerusi, diikuti DAP (16), Bersatu (6), Amanah (5) dan masing-masing tiga dimiliki PKR dan PAS, selain satu milik wakil bebas.
Sumber: Malaysiapost