JOHOR BAHRU: Pasar awam di negeri ini masih dibenarkan untuk terus beroperasi walaupun dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam hingga 6 Disember tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, namun perkara itu tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu.
Menurut beliau, sehubungan itu peniaga dan pengunjung diingatkan untuk mematuhi undang-undang ditetapkan dalam usaha mengekang pandemik Covid-19.
“Operasi pasar tani, pasar malam, pasar pagi di seluruh Johor termasuk Bazar JB masih dibenar beroperasi, walaupun Johor Bahru sebelum ini diisytiharkan sebagai zon merah kita tetap benarkan operasi.
“Kecuali jika pihak berkuasa tempatan mendapati berlaku penularan (Covid-19), atau operasi dijalankan tidak mematuhi SOP, perintah menghentikan operasi boleh dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pengundian Terbuka Rumah Mampu Biaya Johor B, Taman Scientex Pulai Mutiara yang dilakukan secara atas talian di Auditorium RTM Johor, di sini hari ini.
Tambah Ayub, pihaknya tidak mahu sewenang-wenangnya mengeluarkan arahan henti operasi terhadap pasar awam kerana menyedari kepentingannya dalam situasi ekonomi mencabar ketika ini.
“Dengan kebenaran ini, peniaga dapat meneruskan perniagaan dan beroleh pendapatan, selain masyarakat berupaya mendapatkan keperluan harian mereka dengan mudah.
“Jika semua pihak mematuhi SOP iaitu memakai pelitup muka, menjaga jarak serta kerap membasuh tangan, insya-Allah operasi boleh diteruskan,” tambahnya.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dalam satu kenyataan memberitahu, operasi perniagaan pelbagai premis di kawasan pentadbirannya dibenar untuk diteruskan namun perlu mematuhi syarat ditetapkan.
“Hanya pengusaha yang mempunyai lesen perniagaan sah dari MBJB sahaja dibenarkan beroperasi mengikut masa ditetapkan. Selain turut perlu berdaftar dengan aplikasi MySejahtera untuk merekod kehadiran pengunjung.
“Hanya hospital dan klinik dibenarkan beroperasi selama 24 jam, manakala premis-premis perlu mengikut ketetapan masa ditetapkan.
“Manakala premis hiburan, panggung wayang, taman tema, taman permainan, persidangan awam, majlis sosial dan sektor pendidikan tidak dibenarkan beroperasi,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily