JOHOR BAHRU: Pasukan perubatan peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberikan rawatan kecemasan kepada seorang mangsa kemalangan jalan raya berhampiran Jalan Pasir Pelangi, di sini hari ini.
Menerusi satu kenyataan dimuatnaik dalam laman Facebook rasmi baginda, pasukan berkenaan sedang dalam penugasan mengiringi Sultan Ibrahim.
“Anggota paramedik bersama juruteknik perubatan kecemasan yang ketika itu dalam penugasan bertindak memberhentikan ambulans untuk memberikan rawatan kepada mangsa, sebaik melihat kemalangan itu.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan susulan,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Sultan Ibrahim bertitah, baginda sentiasa mengingatkan pasukan berkenaan supaya membantu mereka yang memerlukan.
“Saya pesan kepada mereka, semasa bertugas mengiringi jika berlaku apa-apa kemalangan kepada orang awam, segera membantu dan juga berikan bantuan yang sewajarnya.
“Dalam keadaan sebegini, lupakan saya, segera bantu mereka yang memerlukan bantuan,” titah baginda.
Ambulans peribadi Sultan Johor dilengkapi dengan pelbagai peralatan klinikal seperti mesin bantuan hayat, mesin bantuan pernafasan, alat defibrilator luaran automatik (AED) dan mesin bantuan pernafasan automatik, termasuk peralatan bantuan rawatan luka kebakaran dan peralatan asas bantuan kemalangan jalan raya.
Penggerak Daily