ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sebagai Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) berkuatkuasa bermula hari ini.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, warkah pemasyhuran pengisytiharan itu telah disampaikan Sultan Ibrahim kepada pihaknya di Istana Pasir Pelangi, di sini hari ini.
Menurut beliau, MBPG merupakan pihak berkuasa tempatan ketiga dinaiktaraf sebagai Majlis Bandaraya di negeri ini.
“Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) diiktiraf pada tahun 1994 manakala Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada tahun 2017.
“Kepesatan pembangunan Pasir Gudang sebagai sebuah bandar industri dan pelabuhan yang memiliki pelbagai kemudahan prasarana lengkap memenuhi syarat keperluan menjadi status sebuah bandar raya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di Kota Iskandar di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil.
Menurut Hasni, kawasan pentadbiran MBPG yang berkeluasan 35,956 hektar menempatkan seramai 533,868 orang dengan majoriti penduduk Melayu sebanyak 66 peratus, Cina dan India masing-masing 11 peratus dan lain-lain sebanyak 2 peratus.
Sementara itu, Datuk Bandar Pasir Gudang yang baharu, Asman Shah Abdul Rahman berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada isu keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan pentadbirannya.
“Fokus saya adalah untuk menjadikan Pasir Gudang sebagai sebuah bandar industri yang selamat dan lestari untuk didiami penduduknya.
“Selain itu, saya juga akan memberikan tumpuan kepada aspek kemasyarakatan termasuk menjamin kelangsungan 16 kampung tradisi yang berada dalam kawasan berkenaan,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily