ISKANDAR PUTERI: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mengambil sikap ihsan dalam melaksanakan tugas penguatkuasa melibatkan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, hal itu kerana pihaknya kerap mendapat aduan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap golongan berkenaan.
Menurut beliau, tindakan tersebut tidak salah namun perlu dilaksana dengan ihsan dan bertanggungjawab.
“Saya menerima aduan daripada peniaga kecil di tepi-tepi jalan, ada makcik yang sudah berniaga di kawasan tersebut selama 10 tahun tanpa mempunyai permit.
“Namun satu hari penguatkuasa PBT hadir dan terus mengangkut barang perniagaan mereka, saya rasa tindakan lebih sesuai adalah memberi nasihat terlebih dahulu sebelum tindakan tegas lain diambil,” katanya ketika berucap pada sesi soal jawab sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) berhubung tindakan kerajaan terhadap peniaga tidak berlesen khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar.
Tambah Mohd. Jafni, golongan tersebut bukanlah golongan yang mewah sebaliknya mereka memilih kerjaya itu untuk mendapatkan pendapatan minimum bagi menyara diri dan keluarga masing-masing.
“Ramai juga daripada mereka memulakan perniagaan secara kecil-kecilan selepas kehilangan kerja semasa tempoh pandemik Covid-19 lalu, jika mereka tidak berniaga kecil-kecilan, adakah kerajaan mampu menyediakan RM1,500 sebulan sebagai pendapatan minimum golongan berkenaan,” tegasnya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah melaksana dan menyelaras beberapa penempatan penjaja dengan mengambil kira faktor kesesuaian dan keselamatan mengikut Undang-undang Kecil Penjaja MBIP 2020.
“Antara lokasi itu termasuklah di Taman Seri Orkid, Taman Universiti, Taman Perling, Taman Teknologi dan Taman Nusantara,” jelasnya.
Penggerak Daily