Categories
Berita Budaya Jenayah

PDRM, SKMM BUKA 273 KERTAS SIASATAN BERITA PALSU

JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka 273 kertas siasatan terhadap kes berita palsu berkait COVID-19, setakat hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 136 kes terbabit masih dalam siasatan aktif, diberi notis amaran (12) dan tiada tindakan lanjut (90).

Beliau berkata, 35 kes lagi sudah didakwa di mahkamah dengan 21 didapati bersalah, dalam proses perbicaraan (13) dan tidak bersalah (satu).

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 404 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu sudah dilakukan Pasukan Respons Pantas (PRP), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Selain itu, beliau berkata, tindakan penguatkuasaan juga aktif diambil berdasarkan laporan diterima.

“Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan diragui kesahihannya. Sentiasa menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita daripada sumber rasmi atau boleh dipercayai.

“Perkara yang belum tentu sahih, jika kita turut sebarkan dan sekiranya ia didapati tidak benar, anda juga boleh dikenakan tindakan.

“Jika ada sebarang berita diragui kesahihannya, anda boleh menyalurkan maklumat kepada PRP melalui talian 03-8911 5103 atau melayari: WWW.SEBENARNYA.MY untuk menyemak kesahihan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *