JOHOR BAHRU: Sempena musim durian yang menyaksikan berlakunya lambakan durian di negeri ini, Pejabat Daerah Johor Bahru mengambil inisiatif mengagihkan bubur durian kepada petugas barisan hadapan di bandar raya ini.
Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Abdul Rahman Salleh berkata, program itu turut dijayakan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan Southern Volunteers.
Katanya, ia sebagai satu penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang telah bertungkus lumus melawan pandemik Covid-19 lebih setahun lalu.
“Sempena musim durian di negeri ini, Pejabat Daerah telah menyediakan 5,000 bungkus bubur durian untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan di daerah ini.
“Bubur durian ini akan diagihkan di hospital-hospital, Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan juga lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh Johor Bahru,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan agihan bubur durian di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini semalam. Turut hadir, Pengarah HSA, Dr. Mohtar Pungut.
Tambah beliau, pihaknya berharap sumbangan kecil itu akan dapat meningkatkan lagi komitmen dan dedikasi petugas barisan hadapan dalam melawan pandemik Covid-19 khususnya di daerah ini.
Penggerak Daily