Taipei: Presiden Taiwan, Tsai Ing-Wen memohon maaf kepada keluarga pelajar Malaysia yang ditemui mati dibunuh berhampiran Daerah Alian, di Kaohsiung pada 28 Oktober lalu.
Memetik laporan Bernama, permohonan maaf itu dimaklumkan oleh jurucakap Pejabat Presiden Taiwan, Xavier Chang.
Insiden berkenaan jelasnya mencemarkan imej Taiwan sebagai negara yang selamat dan berjanji kejadian sama tidak akan berulang kata Tsai ketika berucap di dalam mesyuarat Pimpinan Tertinggi Keselamatan Kebangsaan di Taipei pada Sabtu.
Sementara itu, Perdana Menteri Taiwan, Su Tseng-Chang turut menzahirkan permohonan maaf bagi pihak kerajaan dan berjanji agensi berkaitan akan membantu keluarga mangsa.
Sebelum ini, seorang pelajar Malaysia yang dilaporkan hilang pada 28 Oktober lalu ditemui mati sehari selepas kehilangannya di kawasan berhampiran Daerah Alian, Kaohsiung di Taiwan.
Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa yang berusia 24 tahun berjalan di Stesen Keretapi berhampiran universiti terbabit pada pukul 8 malam (waktu tempatan) sebelum dilaporkan hilang.
Pihak berkuasa tempatan berjaya menahan seorang suspek bagi membantu siasatan. Siasatan awal, suspek mengaku telah membunuh mangsa menggunakan tali sebelum membuang mayat mangsa berhampiran Daerah Alian, di Kaohsiung.
Suspek kini disiasat atas kesalahan merogol dan membunuh mangsa.