Pelanggan Pos Malaysia kini tidak perlu lagi mengisi nota konsainan secara manual tetapi hanya perlu datang terus (walk-in) untuk mencetak sendiri nota konsainan di cawangan Pos Laju atau kiosk melalui aplikasi e-Nota Konsainan mulai 17 Ogos ini.
e-Nota Konsainan adalah sistem elektronik layan diri yang membolehkan pelanggan membuat nota konsainan Pos Laju dengan mudah menggunakan aplikasi mudah alih Pos Malaysia Mobile App.
Berdasarkan kenyataan soalan lazim yang dikeluarkan Pos Malaysia, melalui aplikasi ini, pengguna boleh mengguna semula maklumat penerima lepas daripada ‘saved address’ untuk penghantaran yang banyak atau berulang.
“Proses cetakan juga mudah, terutama untuk penghantaran pukal, pelanggan hanya perlu membuat bayaran setelah semua proses selesai selain boleh jejak dan kesan barang pos dengan mudah menggunakan telefon bimbit.
“Pengguna juga boleh membuat e-Nota Konsainan secara digital menggunakan aplikasi Pos Malaysia Mobile App di mana sahaja, pada bila-bila masa,” menurut kenyataan itu.
Menurut Pos Malaysia, e-Nota Konsainan itu hanya boleh digunakan untuk produk Pos Laju Domestik sahaja sementara produk seperti surat, bungkusan domestik dan antarabangsa akan dibuat secara berperingkat.
Bagi pelanggan yang tidak mempunyai aplikasi Pos Malaysia Mobile App, mereka boleh mendapatkan borang daripada Pos Laju dan kakitangan mereka akan membantu menjana maklumat ke dalam sistem dan mencetakkan e-Nota Konsainan itu, menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Pos Malaysia turut memaklumkan pengguna boleh membeli perlindungan insurans untuk barang yang menggunakan e-Nota Konsainan.
“Pelanggan boleh membuat pembatalan pembayaran dengan syarat ia dilakukan pada hari yang sama dan di lokasi cawangan yang sama tertakluk kepada status barang dan masih belum diproses,” katanya.