JOHOR BAHRU: Kedai runcit, kedai serbaneka, stesen minyak, restoren dan ‘mini market’ di Johor kini dibenarkan beroperasi sehingga pukul 12 tengah malam selari dengan peralihan negeri ini memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.
Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dalam satu kenyataan memberitahu, operasi pusat kesihatan, spa dan urut kesihatan juga akan dibenarkan beroperasi bermula 1 Oktober ini.
Kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada individu yang telah menerima dos lengkap vaksin Covid-19.
“Pusat dan perkhidmatan pelancongan seperti zoo, pulau, akuarium, aktiviti menyelam, memancing dan taman rimba juga dibenarkan beroperasi bermula 1 Oktober.
“Perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada syarat pengusaha atau operator dan pengunjung perlulah telah lengkap di vaksin,” jelas kenyataan itu.
Kelmarin, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Pahang dan Johor terlibat dalam peralihan fasa PPN berkuat kuasa 24 September ini.
Beliau dilaporkan berkata, peralihan itu membabitkan Negeri Sembilan daripada Fasa 3 kepada Fasa 4, Pahang daripada Fasa 2 kepada Fasa 3 dan Johor daripada Fasa 1 kepada Fasa 2.
“Keputusan ini juga dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) manakala Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 2, 3 dan 4, adalah sama dengan sebelum ini,” ujarnya.
Penggerak Daily