KULAI: Pelaksanaan projek pelebaran laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Senai Utara ke Sedenak di sini tidak akan menjejaskan aliran trafik ratusan ribu kenderaan yang menggunakan laluan tersebut.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, laluan tersebut merekod purata trafik harian hampir 470,000 kenderaan pelbagai jenis.
“Fasa 1 projek pelebaran daripada empat lorong kepada enam lorong ini melibatkan jarak 21.8 kilometer dan telah bermula sejak pertengahan Julai. Ia melibatkan kos sebanyak RM525 juta dan dijadualkan siap pada Jun 2027.
“Manakala bagi Fasa 2 pula, ia melibatkan jarak sejauh 16.6 kilometer dari Sedenak ke Simpang Renggam dengan kos RM 931 juta. Fasa ini dijangka bermula pada suku pertama tahun 2025 dan siap sepenuhnya pada suku keempat tahun 2028,” katanya selepas melawat tapak projek, di sini.
Tambah Onn Hafiz, pelaksanaan projek pelebaran itu tidak akan mengganggu aliran trafik.
“Saya telah minta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS dan semua pihak terlibat memberi keutamaan kepada pengurusan pelan trafik di kawasan pelebaran dilaksanakan.
“Saya yakin projek ini bukan sahaja akan meningkatkan kapasiti laluan serta mengurangkan kesesakan lalu lintas, tetapi juga memperkukuh jaringan pengangkutan dan menyediakan perjalanan lebih selesa dan selamat kepada pengguna,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, pihaknya berharap projek berkenaan akan siap mengikut jadual ditetapkan sekaligus memberikan manfaat besar kepada penduduk Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Penggerak Daily