JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori mengalami kecederaan selepas kenderaan dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah treler dalam satu kemalangan berhampiran Balai Polis Taman Perling, di sini awal pagi hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Kanan Bomba II, Nazarudin Yusof berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku pada pukul 2.38 pagi.
Katanya, sehubungan itu 12 anggota beserta empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba di lokasi, didapati sebuah lori 1 tan telah merempuh bahagian belakang sebuah lori treler.
“Pemandu lori 1 tan berusia 46 tahun itu mengalami kecederaan manakala pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Nazarudin turut memberitahu, mangsa yang tersepit akibat kemalangan itu dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum dihantar ke hospital berdekatan.
Tambahnya, kemalangan itu turut melibatkan seorang lagi mangsa iaitu penumpang lori treler yang juga tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi tersebut kemudian ditamatkan pada pukul 3.20 pagi.
Penggerak Daily