JOHOR BAHRU: Pemandu mabuk yang merempuh seorang anggota polis trafik sehingga cedera parah di Kilometer 3.6 Jalan Pantai di sini semalam ditahan reman selama empat hari, bermula hari ini.
Perintah tahanan reman terhadap suspek yang berusia 30-an itu dikeluarkan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1A)(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
Terdahulu, suspek hadir ke mahkamah dengan memakai baju lokap berwarna ungu dan tangan bergari itu.
Semalam, media melaporkan seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas cedera selepas dilanggar sebuah kereta dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 7.05 pagi.
“Mangsa ketika itu sedang membuat kawalan lalu lintas berikutan satu kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas sendiri di lorong kanan menghala ke Permas Jaya.
“Ketika kerja penundaan dilakukan, tiba-tiba kereta Proton Wira dipandu suspek dari arah belakang telah mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri lalu melanggar anggota polis berkenaan,” ujarnya.
Tambah Raub, akibat kemalangan itu, mangsa tercampak ke atas cermin hadapan Proton Wira tersebut sebelum melambung dan terjatuh di tengah jalan.
“Mangsa mengalami kecederaan patah tulang pinggul sebelah kiri, luka di muka dan dagu selain luka di bahagian tangan kanan, manakala pemandu kereta berkenaan luka pada tangan sebelah kiri.
“Ujian pernafasan mendapati pemandu kereta itu positif alkohol dalam darah, manakala hasil ujian saringan awal air kencing mendapatinya negatif dadah,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily