Categories
Berita Jenayah kemalangan

PEMANDU SEBABKAN KEMATIAN POLIS DIJEL 9 TAHUN 8 BULAN, DENDA RM36,800

JOHOR BAHRU: Pemandu Perodua Myvi yang menyebabkan kematian seorang anggota polis dalam kemalangan di Jalan Kangkar Tebrau di sini pada Ahad lalu dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun lapan bulan dan denda sebanyak RM36,800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Muhamad. Shafiq Lokman, 25, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku salah atas empat pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan dua Majistret berasingan.
Bagi pertuduhan pertama, Majistret Mohd. Zaki Abd. Rahman memerintahkan Muhamad Shafiq dipenjara lapan tahun dan denda RM30,000 kerana memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian anggota polis.
Bagi pertuduhan kedua, Muhamad Shafiq yang bekerja sebagai pembantu kedai didenda RM1,800 dan jika gagal membayar denda boleh dipenjara tiga bulan kerana kesalahan tidak mempunyai lesen memandu.
Di mahkamah berasingan, Majistret Nurasidah A. Rahman menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM5,000 terhadap tertuduh kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Bagi pertuduhan keempat, pembantu kedai itu dijatuhi hukuman lapan bulan penjara dan dua tahun pengawasan kerana didapati bersalah kerana mengambil dadah.
Dalam pada itu rakan tertuduh, Siti Noor Ashikin Muhammad Arifin, 26, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana kesalahan dadah dan denda seribu ringgit, gagal bayar boleh dikenakan tiga bulan penjara atas kesalahan membenarkan kenderaan yang disewanya diberikan kepada teman lelakinya yang tidak mempunyai lesen memandu.
Teman lelaki Siti Noor Ashikin, Muhamad Syahrihudin Abdul Majid, 24, didenda RM1,000 dan jika gagal bayar boleh dipenjara tiga bulan kerana tidak mempunyai lesen memandu.
Semua kesalahan tertuduh terbabit dilakukan di Jalan Kangkar Tebrau, di sini pada 1 November lalu.
Manakala seorang lagi tertuduh, Muhamad Aiman Romli, 24, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana kesalahan dadah pada 13 Mei 2016.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Tengku Amir Zaki Tengku Abd. Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Noridayu Md Kassim.
Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Sumber: VOICE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *