Berbekalkan beg besar di belakang, juara Olimpik dari Venezuela, Ruben Limardo akan mengayuh basikal di negara angkatnya, Poland dalam memenuhi keperluan ketika berdepan pandemik Covid-19.
Pemenang pingat emas acara lawan pedang di Olimpik London itu sekali lagi akan cuba memburu kejayaan di Tokyo tahun hadapan tetapi ciapan di Twitter mendedahkan kerjaya terbaharunya mengejutkan peminat lelaki berusia 35 tahun itu.
“Anda harus mencari jalan dan ini adalah kerja sama seperti pekerjaan lain,” katanya yang melakukan rutin harian berlatih serta menghantar makanan untuk Uber Eats.
Bukan dia seorang sahaja yang melakukan pekerjaan berkenaan malah 20 lagi skuad lawan pedang Venezuela menjalani kehidupan sama di bandar Lodz di Poland.
“Kami semua adalah rider penghantaran,” kata Limardo.
Dia meraih pingat emas dalam temasya Olimpik lapan tahun lalu, sekali gus menjadi atlet lawan pedang pertama dari Amerika Latin memperoleh kejayaan tersebut sejak Ramon Fonst dari Cuba pada 1904.
Dia juga menjadi atlet kedua Venezuela meraih emas, selepas 44 tahun dilakar petinju, Francisco Rodriguez.
“Kami mendapat wang perbelanjaan yang sedikit dari Venezuela berikutan krisis melanda di sana. Pandemik ini mengubah segala-galanya. Tidak ada pertandingan, Olimpik Tokyo ditangguhkan selama setahun dan penaja pula berkata mereka akan mula menyalurkan sumbangan bermula tahun depan.
“Justeru itu, kami harus mencari sumber kewangan di atas jalan raya,” katanya yang berkayuh kira-kira 50 km setiap hari untuk mendapatkan €100 (RM488) seminggu.
Sumber: Mekanika