ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 161 syarikat vesel tempatan telah menerima manfaat hasil pelaksanaan Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan yang dilaksanakan Jabatan Perikanan sepanjang tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Ahmad Tarmidzi Ramly berkata, program dengan peruntukan RM150 juta itu merupakan inisiatif Dasar Jaminan Makanan (DJM) yang dilaksana Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Menurut beliau, ia dibahagikan kepada empat zon dimana Zon A dan Zon B membabitkan peruntukan RM100 juta manakala Zon C dan Zon C2 dengan peruntukan RM50 juta.
“Menerusi program ini, syarikat vesel ditawarkan pembiayaan sehingga RM5 juta dengan kadar faedah antara 3 hingga 3.5 untuk tempoh 10 tahun.
“Objektif program adalah membangunkan industri perikanan pantai dengan memberi peluang nelayan tradisi menaik taraf dan memodenkan vesel, memasang peralatan efisien dan pertingkat aspek keselamatan yang sekali gus dapat meningkatkan hasil tangkapan.
“Program ini juga mengurangkan kebergantungan penggunaan kru bukan warganegara di atas vesel,” katanya selepas melawat Limbungan Kapal Syarikat DK Naval Technologies di Taman Perindustrian Tanjung Pelepas di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali.
Tambah Ahmad Tarmidzi, penggunaan mekanisme moden seperti di atas kapal nelayan pukat jerut boleh mengurangkan tenaga kerja manusia yang secara tidak langsung memberi kelebihan kepada pengusaha.
Sementara itu, Samsolbari memaklumkan kerajaan negeri menyambut baik usaha pemodenan vesel bagi melonjakkan aktiviti nelayan ke tahap yang lebih tinggi.
“Johor sebagai negeri yang mempunyai garis pantai terpanjang sewajarnya mempunyai aktiviti perikanan yang lengkap selain dibantu dengan pelbagai aktiviti rantaian yang turut memberi nilai tambah.
“Jadi kita menggalakkan nelayan untuk menggunakan mekanisme automatik agar kerjaya nelayan dapat menjadi lebih menarik,” ujarnya.
Penggerak Daily