Johor Bahru, 1 NOV: Pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) hari ini menghadiri mesyuarat pra Parlimen bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Hotel Hilton, Kuala Lumpur
Kehadiran mereka bertali arus dengan masing-masing dilihat muncul di pintu masuk hotel tersebut sejak pukul 12.30 tengahari tadi.
Antara pemimpin yang hadir ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Lain-lain ialah Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Maximus Ongkili; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; dan Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran.
Mesyuarat hari ini dianggap penting kerana sidang Dewan Rakyat akan bermula esok dan bakal menyaksikan Belanjawan 2021 dibentangkan pada Jumaat ini.
Ia kemudian akan dibahas dalam kalangan 221 ahli Parlimen sebelum ia terbuka untuk undian sama ada akan diluluskan atau ditolak kemudiannya.
Sumber: MalaysiaGazette