Pemuda Umno menyokong gencatan senjata politik sekali gus menghentikan sebarang polemik perebutan kuasa demi kepentingan rakyat.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya juga menolak sebarang kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP untuk menjatuhkan Kerajaan sedia ada.
“Kita menolak sebarang kerjasama dengan Anwar, PH dan DAP untuk menjatuhkan Kerajaan sedia ada, (kerana ia) hanya bertujuan memenuhi hasrat beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya menerusi Facebook, semalam.
Beliau berkata, ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno yang bermesyuarat secara dalam talian malam tadi.
“Mesyuarat memutuskan menyokong gencatan politik (political ceasefire) sebagaimana yang disarankan Presiden Umno.
“Ia sekali gus dihentikan segera sebarang polemik perebutan kuasa di saat rakyat susah dan gelisah mengharungi cabaran Pandemik Covid-19 termasuk natijah kegawatan ekonomi yang melanda,”
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya mendesak agar Kerajaan segera menyediakan Pelan Tindakan Khas (Blueprint) untuk menangani kemelut 2.4 juta rakyat yang bakal kehilangan pekerjaan.
“Dijangkakan lebih 1.26 juta rakyat akan mengalami kemiskinan bagi tempoh beberapa bulan akan datang (Sumber infografik KWSP).
“Justeru, kita menyarankan agar kerajaan melanjutkan moratorium secara pukal sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga bulan lagi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Pemuda Umno turut memohon Kerajaan mempertimbangkan bantuan tambahan RM1,000 setiap penerima BPN Sabah yang cuma menelan kos RM737 juta.
“Ini jauh lebih pantas dan berkesan berbanding hantaran bantuan bakul makanan yang dirumitkan oleh masalah logistik dan rekod penerima yang tidak lengkap,” katanya.
Beliau berkata, Pemuda Umno juga menggerakkan jenteranya di seluruh 191 bahagian bagi menjadi pemudahcara antara rakyat dengan agensi-agensi kerajaan.
“Ia bagi membantu mereka khususnya anak-anak muda yang sedang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dan sosial,” katanya.
Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa parti itu melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan diutamakan.
Katanya, kerjasama semua parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik ketika negara menghadapi ancaman Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi.
Sumber: Malaysiapost