JOHOR BAHRU: Mana-mana individu yang didapati mengajar atau memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah di negeri ini akan dikenakan tindakan undang-undang oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap penganjur acara atau program berkenaan yang dianggap sebagai bersubahat.
Menurut beliau, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan bahawa penceramah yang mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini perlu memiliki tauliah.
“Mana-mana penganjur kepada acara mengajar dan memberi syarahan agama Islam menggunakan penceramah yang tidak bertauliah dari MAINJ adalah melakukan satu kesalahan penyubahatan di bawah Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dedenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau sedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, selain itu, mereka yang didapati mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini tanpa tauliah adalah melakukan kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 dan Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.
“Mereka yang diambil tindakan atas kesalahan itu boleh dedenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Menurut Mohd. Fared lagi, tauliah yang diperlukan daripada MAINJ itu adalah meliputi Kawasan masjid dan surau serta mana-mana tempat dialam negeri ini.
“Selaras dengan Seksyen 118(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003, antara kaedah mengawal doktrin dan fahaman yang menyeleweng dari hokum syarak di negeri ini adalah dengan memastikan mereka yang mengajar dan memberi syarahan agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam hendaklah memiliki tauliah daripada MAINJ.
“MAINJ adalah pihak berkuasa agama Islam yang menjaga urusan hal ehwal masyarakat Islam di negeri ini supaya mematuhi hukum syarak berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah yang syariatnya berlandaskan mazhab Shafie tanpa menolak mazhab muktabar lain serta bertasawuf berlandaskan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali,” jelasnya.
Tambahnya, masyarakat Islam di negeri ini hendaklah mematuhi undang-undang yang telah dikanunkan demi memastikan syiar Islam yang benar dan betul ditegakkan dan dilaksanakan di negeri ini.
Penggerak Daily