JOHOR BAHRU: Dua wanita mengalami simptom sesak nafas selepas kediaman mereka di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, dekat sini dicemari bau kuat seperti pencemaran bahan kimia, malam tadi.
Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Ketua Unit Hazmat, Jabatan Penyelamat Bomba Malaysia Johor, Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.22 malam dan pasukan pertama tiba di kampung berkenaan 15 minit kemudian.
“Dua mangsa masing-masing berusia 20-an dan 40-an telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail kerana sesak nafas oleh unit EMRS.
“Anggota hazmat pula telah membuat detection, isolation dan damping di sungai dan didapati terdapat tumpahan cecair pepejal yang berada di kawasan anak sungai,” katanya.
Hasil ujian awal, pihaknya mengesyaki tumpahan itu adalah melibatkan bahan methyl alcohol iaitu sejenis bahan buangan berjadual dengan kepekatan 120 ppm.
“Tindakan awal kita lakukan adalah meminta lima buah rumah dikosongkan yang berada pada jarak 150 meter dari sungai. Mereka semua dipindahkan ke balairaya.
“Jumlah yang dipindahkan adalah seramai 102 orang yang terdiri daripada 25 buah keluarga dan mereka ditempatkan di Balai Raya Kampung Sinaran.
“Buat masa ini, kita cuba mengawal kawasan ini dan terus mengesan dengan cara menyusuri anak sungai untuk mencari punca tumpahan ini bermula,” ujarnya.
Operasi berkenaan melibatkan seramai 24 anggota dengan lima jentera daripada Balai Bomba Kempas, Balai Bomba Larkin dan Balai Bomba Johor Jaya.
Kerja pengesanan tumpahan masih diteruskan dan pihaknya juga turut memohon bantuan pihak Jabatan Alam Sekitar dan Unit Hazmat Melaka.
Tinjauan di kawasan sekitar mendapati bau busuk seakan-akan petrol masih dapat dihidu khususnya apabila berhampiran dengan sungai berkenaan.
Penggerak Daily