JOHOR BAHRU: Sekumpulan penduduk Kampung Dato’ Sulaiman Menteri berhimpun meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sebuah premis yang menjalankan aktiviti judi atas talian serta menjual arak di kampung tersebut.
Seorang penduduk, Ahmade Mohd. Din, 57, berkata, premis itu dipercayai telah beroperasi sejak lebih dua tahun lalu dan aduan rasmi telah dibuat kepada pihak berkuasanya.
Katanya, himpunan itu bertujuan menyelamatkan penduduk kampung khususnya golongan muda daripada terus terjebak dengan gejala sosial yang salah di sisi Islam.
“Sewaktu premis ini mula beroperasi, ia kelihatan seperti sebuah kedai alat telekomunikasi biasa, namun sebenarnya ia turut menjalankan aktiviti judi atas talian selain menjual arak serta rokok seludup.
“Penduduk kampung telahbuat aduan beberapa kali, namun tindakan yang diambil hanya memotong bekalan elektrik sahaja. Selepas tutup beberapa hari premis ini kembali beroperasi semula.
“Oleh itu, penduduk sepakat membuat demo aman ini bagi membantah premis berkenaan daripada terus beroperasi di sini. Kami mahu pemilik premis itu keluar daripada kampung ini,” tegasnya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Himpunan aman yang disertai seramai kira-kira 30 penduduk kampung itu dimulakan sejurus selesai solat Jumaat, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung, Moammar Gaddafi Ahmad, 47, pula memberitahu, dia bimbang kewujudan premis berkenaan akan menyebabkan lebih banyak masalah sosial berlaku.
“Premis seperti ini bukan sahaja akan mencemar imej kampung yang penduduknya merupakan orang Melayu, tetapi turut merosakkan golongan muda tempatan.
“Kami bimbang apabila golongan muda termasuk pelajar sekolah ini ketagih dengan aktiviti judi atau minum arak, mereka akan mula mencuri untuk mendapatkan duit tambahan.
“Jika itu berlaku kesan buruknya akan dihadapi penduduk tempatan sendiri, bukan orang lain,” ujarnya yang bekerja sendiri.
Penggerak Daily