Categories
Berita

PENDUDUK SAMAN RM1 JUTA PEMILIK RESTORAN SELEPAS CETUS KLUSTER SIVAGANGGA

Penduduk dan pemilik kedai di Napoh, Kedah akan memfailkan saman RM1 juta terhadap pemilik restoran Nasi Kandar Salleh bagi menuntut kerugian yang dialami selepas mencetuskan kluster PUI Sivagangga.
Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff, berkata tuntutan saman itu dibuat berdasarkan nasihat peguam bagi memberi pengajaran kepada semua orang supaya tidak sewenang-wenangnya melanggar arahan kuarantin sehingga menyebabkan virus COVID-19 merebak.
“Sehingga semalam, kami berjaya mengumpul 100 penduduk dan peniaga termasuk enam badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu memfailkan saman kepada pemilik restoran Nasi Kandar Salleh.
“Dijangka hari ini akan ada lagi penduduk yang mahu berbuat demikian menerusi nasihat guaman
Zunun and Co yang menawarkan perkhidmatan secara percuma,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, BH melaporkan CAKE mengetuai NGO bersama penduduk dan peniaga pekan Napoh akan memfailkan saman bersama terhadap pemilik Restoran Salleh, Nezar Mohamed Sabur Batcha yang ingkar kuarantin di rumah (HSO) selepas pulang dari India.
Nezar Mohamed juga sudah dijatuhkan hukuman denda RM12,000 dan penjara lima bulan oleh mahkamah di Alor Setar, semalam selepas mengaku bersalah tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian pada bulan lalu.
Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *