JOHOR BAHRU: Program UDA Cares, Back To School 2024 di pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini berjaya ringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan pembukaan semula sesi persekolahan anak-anak.
Salah seorang penerima sumbangan, Azreen Nor Abdul Razak, 39, memberitahu, sumbangan sebanyak RM350 yang diterima itu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk persekolahan anak.
Katanya, dia bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang penerima sumbangan kerana keluarganya masih bergelut dengan ekonomi pasca pandemik Covid-19.
“Sebelum pandemik Covid-19 lalu, saya dan suami berniaga makanan, tetapi ketika pandemik perniagaan terpaksa dihentikan dan kini suami bekerja sebagai petani untuk menyara kehidupan kami sekeluarga.
“Alhamdulillah walaupun keadaan ekonomi tidak seperti dahulu namun kami sedang menyusun kembali kedudukan ekonomi keluarga. Apabila ada program seperti ini sudah pasti ia sangat membantu meringankan beban kami sekeluarga,” katanya yang kini merupakan seorang suri rumah.
Azreen Nor yang juga merupakan ibu kepada tiga cahaya mata itu turut berharap program sedemikian dapat diteruskan pada masa depan agar lebih ramai pihak menerima manfaatnya.
Perkara sama turut diakui Muhammad Fakhrur Razi Ishak, 33, yang bekerja sebagai seorang penghantar makanan p-hailing sepenuh masa.
Jelas bapa kepada empat orang anak itu, program sedemikian amat penting buat keluarganya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan baharu kepada dua orang anak yang menjadi penerima.
“Alhamdulillah, saya terkejut juga apabila diberitahu anak saya tersenarai sebagai penerima, kerana ini kali pertama keluarga kami mendapat bantuan seperti ini.
“Memang amat bersyukur, sumbangan diberikan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan membeli baju sekolah, kasut, beg dan alat tulis baharu bagi menaikkan semangat mereka kembali ke sekolah,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga berharap UDA akan meneruskan program sedemikian pada masa depan agar lebih banyak pihak khususnya yang kurang berkemampuan terus dibantu dari masa ke semasa.
Penggerak Daily