Categories
Berita

PENGGUNAAN KATIL PESAKIT COVID-19 DI JOHOR LEBIH 90 PERATUS

JOHOR BAHRU: Penggunaan katil yang dikhususkan bagi kes Covid-19 di wad dan unit rawatan rapi (ICU) hospital kerajaan negeri Johor telah melebihi 90 peratus daripada kapasiti awal yang disediakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, pesakit Covid-19 kategori 2 hingga 5 masih boleh dirawat di hospital dengan menambah bilangan katil dan wad.

Menurutnya, pihak hospital bagaimanapun tidak menolak pesakit bukan Covid-19 yang memerlukan sebarang rawatan seperti biasa.

“Sehingga semalam, kedatangan pesakit ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Johor adalah seramai 154,449 orang.

“Daripada jumlah itu, 42,927 kes positif, 81,605 kontak rapat manakala 29,917 dari kategori lain-lain seperti kes discaj,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pada 15 Mei, terdapat seramai 82 pesakit Covid-19 yang dirawat di ICU di seluruh negeri ini mana 66 orang memerlukan bantuan peralatan pernafasan.

Vidyananthan turut memberitahu, selain hospital kerajaan, pesakit Covid-19 kategori 1 hingga 5 boleh memilih untuk mendapatkan rawatan di 15 hospital swasta.

“Sementara itu bagi pesakit Covid-19 kategori 1, mereka boleh mendapatkan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Pasir Gudang dan PKRC swasta,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pelaksanaan suntikan dos pertama vaksinasi fasa kedua di negeri ini telah diberi kepada seramai 23,448 orang setakat 15 Mei.

“Mereka yang telah menerimanya melibatkan pecahan seramai 13,763 warga emas; 8,682 individu komorbid; 40 orang kurang upaya dan 1,003 lain-lain kategori,” jelasnya.

Penggerak Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *