JOHOR BAHRU: Seorang pekebun yang juga peniaga sayur-sayuran dijatuhi hukuman denda sebanyak RM30,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada 27 September lalu.
Pengarah SWCorp Johor, Cairul Hisham Jalaluddin berkata, Hakim, Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh didapati bersalah membuang sisa pepejal komersial secara haram.
Katanya, tertuduh didapati bersalah melakukan perkara itu di Kampung Ban Foo, Ulu Tiram pada 5 Ogos 2019.
“Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
“Tertuduh juga telah menyelesaikan pembayaran denda berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu Cairul Hisham mengingatkan orang awam agar menghentikan amalan membuang sampah secara haram di lokasi yang tidak diwartakan dengan serta merta.
“Sisa sampah itu perlu dihantar dan dilupuskan di tapak pelupusan sampah yang dibenarkan.
“SWCorp memandang serius perkara ini dan akan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan perkara itu,” ujarnya.
Cairul Hisham turut memberitahu, pihaknya telah menyelesaikan sebanyak 20 kes pembuangan sisa pepejal secara haram di negeri ini dengan nilai denda keseluruhan berjumlah RM335,000.
Penggerak Daily