Categories
Berita Budaya pembangunan Pendidikan

PENJANA KPT-CAP BAKAL BERI MANFAAT KEPADA 20,000 GRADUAN

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan seramai 20,000 graduan bakal mendapat manfaat daripada program Pelan Jana Semua Ekonomi (Penjana) KPT – Career Advancement Programme (Penjana KPT-CAP).
Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, sehingga hari ini, sebanyak 140 program disusun melibatkan sinergi dengan tidak kurang daripada 100 buah syarikat.
Kata Noraini, beliau yakin melalui strategi yang betul, mampu mencapai kejayaan lebih cemerlang bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan dan dalam masa sama menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi negara.
“Semua program yang dirancang di bawah dana Penjana KPT-CAP adalah suatu manifestasi komitmen kementerian untuk menzahirkan graduan yang komited, berkualiti, mampan, bercirikan keusahawanan, serta mampu berdaya saing di semua peringkat.
“Kita juga maklum bahawa graduan yang mahir merupakan tunjang kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara untuk jangka masa yang panjang,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Penjana KPT-CAP di sini pada Isnin.
Penjana KPT-CAP dijangka membantu siswazah menyesuaikan diri dengan tuntutan baharu pasaran kerja susulan penularan pandemik COVID-19 merangkumi tiga subprogram iaitu ‘Place and Train’ (skim latihan dan penempatan), keusahawanan dan ekonomi gig akan memberi kemahiran baharu serta meningkatkan kemahiran siswazah.
Program yang akan bermula pada Oktober ini akan dikendalikan oleh ahli akademik, pengamal dan pemain industri di institusi pengajian tinggi terpilih di seluruh negara, bertujuan membantu siswazah menganggur pada 2019 dan mereka yang telah menamatkan pengajian pada 2020.
Terdahulu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir merasmikan program berkenaan.
Turut hadir Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.
Dalam pada itu, Noraini berkata, inisiatif itu diperkenalkan sebagai langkah rangsangan untuk menangani situasi ekonomi semasa dan meringankan beban ditanggung rakyat.
“Terdapat tiga program utama digerakkan KPT iaitu job matching and placement, program keusahawanan berterusan dan ekonomi gig,” katanya.
Sumber: Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *