JOHOR BAHRU: Penjawat awam kerajaan negeri ini bakal menikmati kenaikan gaji menjelang akhir tahun ini seperti yang dicadangkan melibatkan penjawat awam kerajaan persekutuan, baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagaimanapun berkata, peratusan kenaikan itu masih belum ditentukan dan perlu melihat kepada kedudukan kewangan kerajaan Johor.
“Daripada segi penjawat awam negeri Johor, InsyaAllah kita juga akan selari dengan apa yang diumumkan Perdana Menteri (berhubung kenaikan gaji). Tetapi kita perlu kaji untuk memastikan kedudukan kewangan kita mencukupi, berapa kadar kenaikan dan bila hendak dilaksana.
“Kita akan buat keputusan dalam masa terdekat, InsyaAllah akhir tahun ini tetapi berapa peratusan kenaikan belum diputuskan dan sedang dikaji,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-39 Persatuan Nelayan Negeri Johor, di sini malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip.
Difahamkan, kerajaan negeri Johor memiliki seramai lebih 17,000 penjawat awam dalam pelbagai gred.
Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini yang merupakan antara kenaikan tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.
Penggerak Daily