Seorang penuntut Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) kini hanya terlantar selepas menjadi mangsa langgar lari di Desa Rakyat, di sini pada 3 November lalu.
Kemalangan pukul 12 tengah malam itu berlaku semasa sebuah kereta dipandu seorang lelaki tiba-tiba membelok ke kanan sebelum dirempuh motosikal ditunggang Muhammad Israf Izzuddin Arbain, 17.
Insiden itu yang mengakibatkan kaki dan pahanya patah selain mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan dirawat di Hospital Penawar di sini sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Kecederaan itu mengakibatkan tempurung kepala anak sulung daripada dua beradik itu terpaksa dibuang dan ingatannya hampir hilang semuanya.
Kini semua keperluan harian diuruskan ibunya, Norazila Adon, 46, yang terpaksa berhenti kerja kilang baru-baru ini untuk menjaganya.
Menurut Norazila, pada masa ini Muhammad Israf tidak dapat makan dan hanya minum susu khas melalui tiub pada bahagian bawah leher.
“Muhammad Israf juga tidak dapat bercakap kerana peti suaranya sudah rosak selain memorinya juga tidak kuat, kadang-kadang hanya ingat saya dan dan bapanya, Arbain Ramli, 48.
“Menurut doktor, kemungkinan untuk sembuh semula akan mengambil masa selain bergantung kepada Muhammad Israf sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Cahaya Masai di sini hari ini.
Dia berkata, Muhammad Israf minum susu khas 800 gram untuk seminggu dengan harga RM75 dan pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori tidak cukup menampung kos susu dan lampin anaknya itu.
Bagi mereka yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berhubung Norazila (0177905336) atau boleh terus melalui akaun HSBC bank (313458309025) juga atas nama Norazila.
Sumber: VOICE