Buli siber merupakan ancaman siber ketiga terbesar di Malaysia, sejurus selepas penipuan dan penggodaman atas talian.
Menurut kajian Microsoft Global Youth Online Behaviour Survey pada tahun 2012, daripada 25 negara yang dikaji, Malaysia menduduki tangga ke-17 tertinggi dalam buli siber.
Kajian terhadap kanak-kanak dan remaja berusia 8-17 tahun tersebut mendapati kejadian buli siber di Malaysia tidak jauh berbeza dengan statistik global sebanyak 37%, iaitu dengan 33% remaja Malaysia melaporkan pernah dibuli secara atas talian.
Laporan Pusat Bantuan Cyber999 pada tahun 2017 juga turut menunjukkan bahawa lebih banyak kes buli yang melibatkan mangsa belia yang berusia berbanding kanak-kanak dan remaja.
Pada 2018, kaji selidik DiGi CyberSAFE yang menunjukkan 65 peratus pengguna internet mengaku menerima mesej berbaur lucah atau dimaki ketika bermain permainan dalam talian dan 25 peratus lagi menjadi mangsa gangguan seksual di media sosial
Hal ini tidak lagi menghairankan kerana tokoh umum seperti selebriti dan aktivis sosial mungkin menjadi mangsa kecaman masyarakat.
Penggunaan akaun palsu dan rasa kebersamaan dengan pembuli lain yang turut menghamburkan komen agresif dan mengancam di dunia maya juga menyebabkan buli siber sukar dibendung.
Buli siber didefinisikan sebagai tingkah laku yang dilakukan melalui media elektronik oleh individu atau kumpulan individu secara berulang kali dengan mesej bermusuhan atau agresif bertujuan untuk menimbulkan kemudaratan atau ketidakselesaan pada yang lain.
Meskipun pembulian siber berlaku tanpa mengira jantina, terdapat kajian yang mendapati buli siber di Malaysia mungkin lebih banyak berlaku kepada dan oleh perempuan walaupun jurang perbezaannya tidak terlalu besar.
Berbeza dengan negara lain seperti Taiwan yang mungkin menggunakan khidmat pesanan ringkas sebagai alat buli siber, Malaysia yang mempunyai pengguna laman sosial seperti facebook yang ke-8 tertinggi di Asia didapati lebih kerap mengalami masalah ini di laman sosial.
Walaupun buli siber kelihatan tidak meninggalkan kesan fizikal, gejala ini lebih berbahaya dan mengancam kesihatan mental mangsa kerana boleh dilakukan berulang kali dan beramai-ramai semudah menaip di hujung jari.
Ekoran itu, pada tahun ini Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melantik Universiti Multimedia (MMU) untuk menjalankan penyelidikan berkaitan undang-undang antibuli siber yang memerlukan akta yang khusus berkaitan buli siber sebagaimana yang dilaksanakan di Singapura, Filipina dan beberapa negara maju, serta melihat pelaksanaan undang-undang anti-siber di negara lain.
KKMM juga melaksanakan kempen literasi pengguna media digital bagi menggalakkan warga net di Malaysia menggunakan peranti dengan beretika dan mempunyai kesedaran tentang hak masing-masing.
PenggerakDaily