JOHOR BAHRU: Penganut Hindu yang meraikan sambutan Perayaan Deepavali tahun ini dibenarkan untuk mengikuti sesi upacara sembahyang pada hari pertama perayaan itu, esok.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan, berkata itu bagi mereka yang tinggal di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Sesi upacara sembahyang perlu diadakan bermula pukul 7 pagi hingga 12 tengahari dengan pembahagian sebanyak lima sesi sahaja iaitu 30 minit setiap sesi, diselangi dengan operasi sanitasi selama 30 minit sebelum memulakan sesi baharu.
“Bagi sambutan perayaan di rumah kediaman atas tanah (landed) dalam kalangan keluarga terdekat, sambutan haruslah tidak melebihi 20 orang pada satu-satu masa manakala bagi rumah kediaman strata (bertingkat) dengan keluasan kurang daripada 1500 kaki persegi (kps) tidak melebihi 10 orang.
“Bagi keluasan kediaman strata melebihi 2500 kps tidak melebihi 15 orang pada satu-satu masa. Setiap individu digalakkan memakai pelitup muka, memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan mengutamakan kebersihan diri dengan memakai cecair pembasmi kuman atau sabun pencuci tangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Vidyananthan memberitahu setakat semalam, seramai 1,228 individu telah ditempatkan di 14 buah stesen kuarantin yang dibuka di seluruh negeri berikutan gelombang ketiga penularan pandemic Covid-19.
Stesen kuarantin ini meliputi 10 buah hotel dan empat merupakan Institut Latihan Awam (ILA).
Penggerak Daily