JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan habeas corpus Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings (GISBH) Sdn. Bhd., Datuk Nasiruddin Mohd. Ali, dan isterinya, Datin Azura Md. Yusof yang difailkan pada 30 Oktober tahun lalu.
Permohonan tersebut dibuat bagi mencabar penahanan mereka mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012), sebelum ini selepas dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Hakim, Datuk Abu Bakar Katar berkata, pemohon-pemohon berada dalam Waran Menahan yang sah dan sekali gus Writ Habeas Corpus telah menjadi akademik.
“Mahkamah ini membenarkan bantahan awalan dibangkitkan Peguam Kanan Persekutuan mewakili responden.
“Mahkamah ini berpendapat semasa Writ Habeas Corpus di failkan pemohon tidak berada dalam tahanan salah atau tahanan tidak wajar,” katanya semasa prosiding berkenaan.
Sementara itu, di pekarangan mahkamah, peguam responden, Datuk Rosli Kamaruddin memberitahu pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Persekutuan, minggu depan.
“Selain itu, kita juga akan memfailkan permohonan jaminan melibatkan semua tahanan yang layak iaitu wanita dan golongan lelaki yang sakit serta uzur.
“Permohonan jaminan ini termasuk buat CEO GISBH dan isterinya. Permohonan akan dibuat untuk mahkamah timbangkan budi bicara sama ada benarkan jaminan atau sebaliknya,” katanya.
Pada prosiding hari ini, responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Mohd. Zain Ibrahim dan Peguam Persekutuan, Mohamad Firdaus Sadani Ali dan Nur Syahidah Mohamad Kamil.
Selain Rosli, pemohon turut diwakili barisan peguam, Najib Zakaria, Boestamam Ahmad, Dorina Abdullah, Hasnan Hamzah, Zaim Rosli, Luqman Zainal, Schanni Feizal, Zahier Rosli.
Pada 23 Oktober lalu, Nasiruddin, Azura dan Mohamad Suhaimi dilaporkan telah dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Akta 130V (1) di Mahkamah Sesyen Selayang.
Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka dan 19 individu lain kerana kes berkenaan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua 13 lelaki dan sembilan wanita berkenaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Penggerak Daily