KANGAR – Simpati dengan nasib seorang ibu, Rosna Ismail yang baru kehilangan tempat berteduh apabila rumahnya di Bukit Kateri, Kangar hangus dijilat api, Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin telah ke Perlis bagi menyampaikan sumbangan dan sokongan kepada keluarga ibu tersebut.
“Lebih menyayat hati, Rosna yang juga merupakan pembantu awam di SK Santan baru saja kehilangan anak sulungnya”, kata anak saudara mangsa, Harizan Che Omar.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin, Tan Lek Khang, “saya ternampak posting mengenai kebakaran Rumah Puan Rosna di Facebook beberapa hari lepas dan rasa sangat sedih kerana mangsa baru sahaja kehilangan anak sulung dan kini kehilangan tempat tinggal”,
“Ditambah dengan krisis COVID-19, tentu kejadian ini menyebabkan nasib mereka sekeluarga lebih sempit apatah lagi mereka terpaksa menggunakan surau untuk berteduh”,
“Kesempatan ini, Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin telah memberikan sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada Puan Rosna dan mengagihkan lebih 100 topeng muka kepada mangsa dan kejiranan sekitarnya”, tambah Tan yang juga merupakan Setiausaha Pemuda Negara Negeri Johor.
“Berkenaan rumah, saya difahamkan telah ada pihak sedang menguruskan hal berkenaan”, ujar Tan.
Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan atau sumbangan, boleh salurkan ke akaun Siti Fairuz Hassan (anak mangsa) di nombor akaunĀ 2005181000194459 (Agro Bank).