JOHOR BAHRU: Seorang isteri tidak menjangka perubahan sikap suami yang dahulu ceria kepada tiba-tiba menjadi pendiam merupakan petanda bahawa ajalnya sudah tiba.
Izyan Nadia Mohd. Nasir, 34, berkata, sebelum ke kerja setiap hari, dia akan meminta izin suaminya, Asmirul Bahrudin Shah, 36, terlebih dahulu.
“Tetapi pada hari kemalangan yang meragut nyawanya, arwah tidak memberi sebarang maklum balas apabila saya minta diri untuk pergi kerja seperti biasa, kebiasaannya dia akan berpesan supaya saya berhati-hati.
“Namun pada hari itu dia berdiam diri dan lain daripada biasa. Kemudian pada petang hari itu saya dimaklumkan suami terlibat dalam kemalangan dan mengalami kecederaan parah di muka dan patah kaki kiri,” katanya.
Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor, Tong Sing Chuang di kediamannya di Taman Scientex, Pasir Gudang.
Selaku isteri, Izyan layak menerima bayaran Faedah Orang Tanggungan sebanyak RM607.50 dan Pencen Penakat RM720,000 sebulan selepas suaminya terlibat kemalangan maut pada 5 Disember lalu.
Tambah Izyan, arwah suaminya yang bekerja sebagai pemandu grab itu terlibat kemalangan semasa menghantar pesanan makanan di Jalan Persiaran Seri Alam, Flat Taman Flora Heights, di sini.
“Saya dimaklumkan dia terlanggar sebuah lori yang berhenti secara mengejut di tengah-tengah jalan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” jelasnya.
Penggerak Daily