JOHOR BAHRU: Peruntukan berjumlah RM150,000 yang diagihkan kerajaan negeri kepada semua 56 wakil rakyat ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kegunaan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse memaklumkan peruntukan tersebut akan digunakan untuk membeli 1,000 kit ujian kendiri Covid-19 selain melaksanakan program bakul makanan.
Katanya, inisiatif itu dijalankan pihaknya bertujuan untuk mengurangkan beban masyarakat terkesan akibat pandemik selain turut mencegah penularan wabak berkenaan.
“Ini merupakan inisiatif pejabat ADUN kerana kita dapat peruntukan daripada Menteri Besar (Datuk Ir Hasni Mohammad) sebanyak RM150,000 untuk menolong rakyat.
Jadi kita gunakan sebahagian peruntukan itu untuk mengagihkan set ujian kendiri Covid-19, RTK-Ag selain memberi bakul makanan kepada yang memerlukan.
“Sebagai permulaan kita edarkan sebanyak 150 unit set ini kepada penduduk di Flat Cengal, Taman Putri Kulai sebelum diikuti beberapa kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Agihan Percuma Kit Ujian Kendiri Covid-19 yang diadakan di Flat Cengal, Taman Putri Kulai, di sini hari ini.
Tambah beliau, langkah berkenaan akan membantu memudahkan pengurusan pihak daerah melakukan pengesanan awal kes positif Covid-19.
Pada 22 Ogos lalu, Hasni memaklumkan kerajaan negeri bersetuju memberi peruntukan sebanyak RM150,000 kepada semua 56 ADUN di Johor.
Penggerak Daily