Oleh: Editorial Penggerak Daily
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dengan kerjasama Tourism Malaysia sedang menganjurkan Pesta Pelancongan Mini Cuti-Cuti Malaysia sempena acara jualan KLIA Crazy Sale di KLIA mulai 26 hingga 31 Ogos tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, penganjuran Pesta Pelancongan Mini Cuti-Cuti Malaysia adalah sejajar dengan strategi bersama Dorongan Taktikal Domestik yang telah dibangunkan dengan Tourism Malaysia bagi merangsang pemulihan pelancongan dan ekonomi.
“Memandangkan sekatan perjalanan semakin dilonggarkan, kami berharap agar rakyat Malaysia dapat merancang untuk melancong secara tempatan melalui acara ini. Kami yakin ianya akan mendapat sambutan yang positif dengan purata 3,000 pelawat setiap hari,” tambahnya.
Acara ini juga akan menawarkan Pakej “Staycaption” Lapangan terbang pertama oleh Hotel Sama Sama KLIA bagi keluarga yang mahu menikmati lawatan eksklusif dan aktiviti simulasi kebakaran yang menarik di stesen bomba KLIA.
Sumber: BERNAMA