KUALA TERENGGANU, 12 Ogos — Kerajaan negeri Terengganu berjaya mendapatkan komitmen sumbangan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berjumlah RM21 juta untuk program inisiatif berteraskan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat sepanjang tahun 2015 hingga 2020.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sumbangan tersebut diperoleh menerusi jawatankuasa kerja bersama yang terjalin antara kerajaan negeri dengan syarikat pengeluaran minyak itu.
“Menerusi kerjasama yang terjalin dengan Petronas ini juga, sejumlah RM15.5 juta telah dibelanjakan oleh Petronas pada 2019 bagi tujuan pendidikan dan pembangunan modal insan di Terengganu,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Ahmad Samsuri menjawab soalan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) yang ingin mengetahui sejauh mana kerajaan negeri memainkan peranan dalam jawatankuasa kerja bersama itu untuk menarik kepentingan rakyat di negeri ini melalui Petronas.
Menjawab soalan tambahan Hishamuddin mengenai sumbangan Petronas selain berkonsepkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap kerajaan negeri, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri juga telah berunding dengan pihak Petronas berhubung pembangunan Lembah Silika Terengganu di Marang.
Katanya, perundingan tersebut membabitkan pembekalan gas dari Santong di Dungun hingga Jambu Bongkok di Marang menerusi projek saluran paip gas dan pembangunan infrastruktur berkaitan.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata setakat suku ketiga tahun 2019, terdapat 381 syarikat dari Terengganu telah berdaftar dengan Petronas.
Katanya, kejayaan itu dicapai melalui penubuhan Majlis Petroleum Terengganu (TPC) yang antara lain berperanan untuk membida tender-tender yang dikeluarkan oleh pihak Petronas supaya syarikat milik anak Terengganu diberi keutamaan.
— BERNAMA