ISKANDAR PUTERI: Pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran berhubung kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh perlu dibawa ke muka pengadilan.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, isu tuntutan pulau berkenaan amat dekat dengan rakyat Johor sama ada daripada sudut sejarah mahupun kedudukan lokasinya.
Sehubungan itu katanya, pihaknya memberi jaminan akan bekerjasama dan membantu kerajaan Persekutusan mendapatkan dokumen dan pandangan yang diperlukan.
“Kerajaan negeri setuju dan akan memberikan sokongan penuh tentang tindakan undang-undang di bawah ‘tort of misfeasance’ ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes tersebut.
“Perkara itu perlu disegerakan agar mereka yang bertanggungjawab dibawa segera ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jemaah menteri bersetuju pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.
Beliau dilaporkan berkata, usaha tersebut bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pulau Batu Puteh.
Tambah Hasni lagi, kerajaan negeri mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan dibuat Jemaah Menteri untuk menyemak semula undang-undang berkenaan kes Pulau Batu Puteh.
“Berdasarkan hasil siasatan itu kelak, kerajaan negeri juga bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Johor amat berharap jawatankuasa khas yang ditubuhkan ini dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin dan mendoakan semoga usaha tersebut dipermudahkan dan dikurniakan kejayaan,” ujarnya.
Penggerak Daily