Oleh: Editorial Penggerak Daily
Minggu lepas, nama Penggerak Komuniti Negara (PKN) Tenggara telah menjadi buah mulut dalam kalangan guru di daerah Kota Tinggi apabila mengagihkan lebih 2000 unit bendera sempena bulan Kemerdekaan di kalangan pelajar di daerah tersebut.
Petang tadi pula, NGO yang terdiri daripada anak muda progresif telah turun ke Kampung Orang Asli Kempas Menang, Kota Tinggi untuk meninjau dan membaik pulih rumah daif seorang penduduk yang berstatus ibu tunggal.
Menurut Pengerusi PKN Tenggara, Datuk Tan Lek Khang, “rumah yang rosak ini telah kami kenalpasti semasa mengagihkan bekalan makanan dan keperluan asas kepada penduduk kampung ini semasa berlangsungnya PKP”,
“Siapa yang tak tersentuh apabila melihat keempat-empat tingkat dan pintu rumah berkenaan sudah rosak dan tidak berfungsi disamping keadaan atap yang bocor”,
Tambah Tan lagi, “keadaan rumah ini bukan saja membuat penghuninya tidak selesa, bahkan faktor keselamatan keluarga tersebut perlu diambil kira, tambahan penghuninya merupakan ibu tunggal”.
Setelah meninjau keadaan rumah tersebut, PKN Tenggara memutuskan untuk membaiki keseluruhan bahagian yang rosak terutama keempat-empat tingkap dan pintu rumah berkenaan yang sudah tidak berfungsi.
Menurut Tan, hasil perbincangannya dengan kontraktor yang bertanggungjawab menjalankan kerja pembaikan, rumah tersebut akan siap dibaiki dalam masa seminggu.
Dalam tinjauan ke rumah terbabit, PKN Tenggara juga menyampaikan bantuan berupa barang makanan dan keperluan asas kepada ibu tunggal tersebut.
PenggerakDaily