PUTRAJAYA: Sebagai langkah persediaan pencegahan Covid-19 kerajaan telah mewartakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kota Setar, Kedah dan Penjara Tawau, Sabah bermula 11 September jam 12.01 tengah malam hingga 25 September 2020.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pelaksanaan PKPD secara pentadbiran di Kota Setar akan melibatkan 28 mukim meliputi 366,787 orang penduduk. Segala aktiviti keluar masuk daerah yang terlibat semasa PKPD adalah dilarang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalankan sekatan jalanraya dan kawalan di kesemua jalan keluar masuk daerah.
Sementara PKPD secara pentadbiran di Penjara Tawau, Sabah pula adalah melibatkan banduan, anggota dan ahli keluarga Jabatan Penjara Tawau. Sebarang bentuk lawatan adalah dilarang.
Peningkatan kes di Lahad Datu dan Tawau adalah melibatkan peningkatan kes dalaman penjara sahaja dan penyebaran kes kepada masyarakat luar adalah tipis.