KULAI: Polis daerah ini sedang mencari seorang suspek yang bertindak membuang patung sembahyang agama Hindu ke dalam tong sampah dalam satu kejadian di Taman Scientex Senai, 15 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kejadian itu tular dalam satu rakaman video berdurasi 42 saat.
Menurut beliau, rakaman video berkenaan dimuat naik pengguna akaun Facebook Krishnamoorthy Vichu sehingga mendapat perhatian umum.
“Polis telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki berkenaan rakaman kejadian itu pada pukul 4.30 petang, 15 Mei lalu.
“Kejadian itu berlaku pada pukul 9 pagi dihadapan rumah pengadu yang beralamat di Taman Scientex Senai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Beng Yeow, pengadu mengesahkan patung sembahyang Dewa Ganesh itu diletakkan di luar halaman rumah untuk tujuan hiasan dan bukannya untuk tujuan sembahyang.
“Pengadu juga memaklumkan tiada sebarang kerosakan ke atas patung tersebut dan ianya telah diletakkan kembali ke tempat yang asal.
“Salinan rakaman CCTV kejadian telah diambil pihak polis bagi tujuan siasatan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat,” ujarnya.
Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi talian 012-7779338.
Penggerak Daily