JOHOR BAHRU: Polis Johor telah menghentikan siasatan terhadap seorang ahli perniagaan Malaysia, Teow Wooi Huat atau dikenali sebagai Teddy Teow yang ditahan pihak berkuasa Thailand Jumaat lalu bersabit kes penipuan hartanah.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tindakan itu ekoran keputusan Pejabat Pendakwa Raya yang memaklumkan tiada tindakan lanjut akan diambil.
Menurut beliau, siasatan terhadap individu berkenaan bagaimanapun masih diteruskan polis Bukit Aman bersabit kes-kes lain.
“Kita telah berhubung dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman memaklumkan bahawa kes yang disiasat mengikut bersabit laporan di Pekan Nanas kini diklasifikasi sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Timbalan Pendakwa Raya.
“Walaubagaimanapun siasatan di peringkat Bukit Aman masih diteruskan kerana ada beberapa kes, setakat ini untuk Johor kita dapati kes berkenaan telah selesai kerana ada beberapa elemen dan keterangan yang mungkin dipihak pendakwa raya tidak boleh nak teruskan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor Siri 2/2022 yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Majlis disempurnakan, Pengarah Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Seri Zamri Yahya. Turut hadir, Datuk Khaw Kok Chin.
Polis Johor sebelum ini memaklumkan pihaknya sedang menyemak status siasatan berhubung kes penipuan pembelian hartanah yang turut melibatkan suspek menerusi satu laporan polis di Balai Polis Pekan Nanas.
Terdahulu, media Thailand melaporkan pihak berkuasa negara itu telah menahan Teddy Teow, 55, di Danok, Jumaat lalu kerana didakwa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram hasil aktiviti perjudian dalam talian di selatan Thailand.
Penguasa Polis Sadao, Kolonel Bunthaeng Laocharoen dipetik sebagai berkata, Teddy Teow ada dalam senarai Notis Merah Interpol dan dipanggil bagi dimaklumkan visanya dibatalkan dan tidak akan didakwa di Thailand.
Teddy Teow dianggap sebagai ‘Jho Low 2’.
Penggerak Daily