JOHOR BAHRU: Polis Johor telah menerima enam laporan berkenaan penipuan ‘scammer’ melibatkan penawaran kerja-kerja pembekalan makanan bermasak di beberapa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) negeri ini.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kerugian terkumpul melibatkan enam laporan itu bernilai RM24,900.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Menurut laporan polis itu, mangsa menerima panggilan telefon individu tidak dikenali yang menawarkan tender pembekalan makanan untuk majlis-majlis yang akan diadakan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Johor.
“Mangsa kemudian diarah untuk membuat pembayaran dalam jumlah tertentu ke akaun bank yang diberi sekiranya mahu mendapatkan tender berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumar, mangsa yang percaya dengan tawaran tersebut seterusnya membuat pembayaran dan hanya menyedari telah ditipu setelah membuat semakan dengan JBPM Negeri Johor.
“JBPM Negeri Johor mengesahkan bahawa perkara tersebut tidak benar dan tiada tender sedemikian dikeluarkan pihaknya.
“Polis Johor telah membuka kertas siasatan untuk menyiasat perkara ini,” ujarnya sambil menasihatkan orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran dibuat secara dalam talian atau menerusi panggilan telefon.
Tambah beliau, orang ramai yang menerima tawaran berkenaan boleh membuat semakan terlebih dahulu dengan jabatan atau agensi yang didakwa menawarkan tawaran berkenaan sebelum membuat sebarang pembayaran.
Semalam, Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir dalam satu kenyataan meminta orang ramai berhati-hati dengan taktik terbaharu ‘scammer’ berkenaan yang menggunakan nama jabatan tersebut.
Pihaknya dilaporkan berkata telah menerima beberapa panggilan dan laporan daripada orang awam yang mengusahakan perniagaan makanan bermasak yang telah menjadi mangsa.
Penggerak Daily