JOHOR BAHRU: Polis Johor akan memastikan operasi pemantauan terhadap sebarang kegiatan pelampau termasuk ekstremis agama dan kumpulan ajaran sesat di negeri ini menjadi keutamaan bagi memastikan ketenteraman awam.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, anggota masyarakat khususnya ahli keluarga juga mempunyai peranan penting dalam soal berkenaan.
“Kita tidak dapat menilai personaliti dan ideologi seseorang menerusi pandangan mata kasar, sehubungan itu maklumat awal daripada ahli keluarga dan anggota masyarakat termasuk jiran tetangga adalah penting.
“Sebarang perubahan sikap, tingkah laku dan aktiviti harian perlu diperhatikan untuk langkah pencegahan diambil,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Afandi Senin.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan kejayaan pihaknya membanteras kegiatan jenayah bersabit kesalahan dadah dimana seramai 8,652 pesalah ditahan, ketiga tertinggi sejak 1 Januari hingga April lalu.
“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 1.72 tan dadah bernilai RM13.37 juta dirampas, manakala sitaan aset sebanyak RM5.31 juta telah dibuat ke atas lapan sindiket pengedaran dadah tempatan,” ujarnya.
Sementara itu, Polis Johor turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada seramai 42 waris dan ahli keluarga pegawai dan anggota yang maut atau tercedera ketika berkhidmat, sepanjang tahun lalu.
Penggerak Daily