JOHOR BAHRU: Polis Johor sedia menambah kekuatan anggota bagi melaksanakan pemantauan dan rondaan menjelang ketibaan Ramadan, esok ekoran cuti panjang selama empat hari di negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penambah anggota turut dibuat bagi memastikan memastikan lalu lintas pada hari cuti berjalan lancar apabila dijangka ramai pihak pulang ke kampung bagi menyambut hari pertama Ramadan.
Menurut beliau, pihaknya juga akan memastikan anggota polis mencukupi dalam memastikan keselamatan di bazar Ramadan dan rumah kediaman yang ditinggalkan.
“Jumlah anggota trafik akan ditambah bagi mengelak kesesakan jalan raya, terutamanya yang pulang ke kampung atau yang keluar untuk berbuka puasa dan sebagainya .
“Dalam masa sama, kita juga mohon agar pemilik kediaman yang meninggalkan rumah mereka tanpa penghuni untuk memaklumkan kepada polis,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya juga menyeru kerjasama orang awam untuk mengikut peraturan ditetapkan sama ada di jalan raya atau di bazar Ramadan, selain masjid dan surau seluruh Johor.
“Polis akan terus meningkatkan rondaan dan pengawalan keselamatan di lokasi-lokasi tersebut,” jelasnya.
Penggerak Daily