JOHOR BAHRU: Polis Johor telah menerima sebanyak 140 laporan sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram berlangsung.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah tersebut direkodkan bermula pada Hari Penamaan Calon iaitu pada 26 Ogos sehingga hari terakhir kempen, pukul 12 malam, semalam.
Menurut beliau, jumlah kertas siasatan yang dibuka Polis Johor kekal empat, manakala dua lagi kertas siasatan dibuka Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Proses pengundian yang bermula daripada pukul 8 pagi sehingga 6 petang di kesemua 61 tempat pembuangan undi berjalan lancar. Cuma pada peringkat awal berlaku hujan dan sedikit kesesakan berlaku di dalam bandar.
“Selain itu, ada dua insiden berlaku di Sungai Abong, Muar dimana dua kumpulan parti politik yang berdekatan bersorak namun polis berjaya pisahkan kedua-dua kumpulan itu bagi mengelak perkara tidak diingini,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan selepas melawat pusat penjumlahan undi PRK Parlimen Pulai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini malam semalam.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner, M. Kumar dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.
Kamarul Zaman turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
“Pengundi-pengundi ini berupaya menunaikan hak dan tanggungjawab mereka dengan tenang dimana ia menunjukkan tiada ancaman buat mereka. Jadi mereka bebas keluar mengundi, kita jamin keselamatan semua yang terlibat.
“Terima kasih juga kepada seramai 4,000 pegawai dan anggota polis yang bertugas memastikan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram ini dapat berlangsung dengan lancar dan tenang.
“Begitu juga kepada penyokong parti-parti politik yang bertanding, kita ucap terima kasih kepada kerjasama yang diberi, mereka semua bertolak ansur dan keadaan aman damai,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily