KULAI: Kementerian Komunikasi tidak terima laporan melibatkan kesalahan berkaitan isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) sepanjang minggu pertama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching sehubungan itu berharap keadaan itu akan kekal sehingga tamat PRK berkenaan pada 28 September ini.
“Saya belum terima aduan spesifik tentang kesalahan 3R setakat ini. Masing-masing adakan kempen secara baik dan saya harap perkara ini akan berterusan. Semua pihak diingatkan untuk terus menjaga adab.
“Tindakan provokasi (ketika berkempen) itu biasa, tetapi tiada isu-isu yang terlampau lagi, mungkin juga kerana kita berada di Johor,” katanya kepada pemberita semasa melawat tapak infrastruktur komunikasi Jendela Fasa 1 di Felda Inas, di sini hari ini.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai bagaimanapun mengingatkan pihak-pihak terlibat agar tidak menggunakan nama Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain sebagai bahan kempen.
“Ini kerana ada peristiwa dimana pihak-pihak menggunakan nama arwah (ketika berkempen). Walaupun ia tidak menyentuh isu 3R, tetapi kita perlu menjaga adab.
“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku bagi menjaga perasaan dan sensitiviti waris penyandang kerusi DUN berkenaan,” jelasnya.
Rabu lalu, Anak sulung kepada Allahyarham Sharifah Azizah, Wan Mohd. Hibatullah Abu Bakar mempersoal kenyataan Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa berkenaan satu majlis tahlil khas yang akan diadakan didakwa dengan kerjasama keluarga Allahyarham.
Wan Mohd. Hibatullah dilaporkan memberitahu perkara itu tiada dalam pengetahuan ahli keluarga.
“Saya sebagai anak sulung Datuk Sharifah Azizah Syed Zain tak tahu pun. Saya mohon jasa baik tidak gunakan simpati arwah mak saya sebagai bahan kempen,” tulisnya di akaun Facebook miliknya.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) iaitu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah dan calon PN iaitu Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kluang, Mohamad Haizan Jaafar.
Penggerak Daily