Oleh: Editorial Penggerak Daily
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi mengumumkan calon BN, Mohd Zaidi Aziz memenangi pilihan raya kecil (PRK) Slim.
Zaidi menang dengan majoriti 10,945 undi, jauh mengatasi margin kemenangan BN pada PRU14 iaitu sebanyak 2,183 undi.
Pada PRK kali ini, Zaidi memperoleh 13,060 undi, manakala Amir Kyushairi mendapat 2,115 undi dan S Santhasekaran meraih 276 undi.
SPR berkata jumlah pengundi pada PRK berkenaan adalah sebanyak 68.4 peratus.
Keputusan semalam menunjukkan sejumlah pengundi Cina dan India yang menolak BN pada PRU 2018 membuat pilihan berbeza kali ini. Ia jelas dilihat di Ladang Sungkai, PDM dengan majoriti pengundi India (83.56 peratus).
Keputusan semalam juga menunjukkan BN menang di kesemua 13 pusat daerah mengundi (PDM) dalam DUN Slim, selain undi pos dan undi awal. Ini bermakna BN berjaya mengubah sokongan para pengundi di enam PDM yang dimenangi PH pada PRU 2018.
Manakala Parti Pejuang yang baru ditubuhkan tidak kehilangan wang deposit apabila calonnya Amir Kyushairi tewas pada PRK Slim. Parti itu memperoleh 13.69 peratus undi, melebihi 12.5 peratus yang diperlukan bagi mendapatkan semula wang deposit pilihan raya.
Sementara itu, calon bebas S Santharasekaran hanya memperoleh 1.79 peratus undi dan hilang wang deposit sebanyak RM5,000.
PenggerakDaily