JOHOR BAHRU: Perancangan dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri pada masa depan akan mengambil kira impak pandemik Covid-19 terhadap keberkesanan program yang ingin dilaksanakan.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, kesediaan sektor ekonomi seperti sosial dan industri untuk hidup dalam ‘norma baharu’ juga bakal mempengaruhi momentum pemulihan ekonomi.
Katanya, dasar dan inisiatif yang dirancang harus berdaya tahan dalam keadaan sekarang dan harus berupaya memberi impak yang cepat kepada kehidupan rakyat.
“Meskipun rakyat sudah divaksin sepenuhnya, Covid-19 tetap akan ada dan penutupan lokaliti secara berfokus seperti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dapat dielakkan.
“Inisiatif dan program perlindungan sosial diberikan harus tepat kepada
golongan sasar dengan kadar yang munasabah, agar bebanan mereka dapat segera diringankan.
“Inisiatif dan program tersebut boleh diberikan samada kepada golongan sasar yang sama ataupun yang berlainan secara berfasa-fasa.
“Seperti contoh, saya amat berbangga melihat projek pembinaan Pusat Transit Gelandangan Johor Bahru dengan kos RM7.64 juta yang terletak di Taman Larkin Perdana, bakal disiapkan Julai tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis pelantikan dan angkat sumpah Datuk Bandar Johor Bahru di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini hari ini.
Selain itu katanya, regulasi perniagaan sepatutnya dimudah dan peniaga kecil haruslah diberikan sokongan yang berterusan sementara birokrasi wajar dipendek dan iberalisasi terhadap ekosistem perniagaan mesti dilakukan.
“Ini bertujuan memastikan potensi ekonomi tempatan terutama sekali Sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dapat dimaksima agar rakyat terkesan berpeluang untuk kembali pulih memakmurkan kehidupan masing-masing secepat mungkin,” jelasnya.
Penggerak Daily